KPDNHEP Sarawak terus pantau harga minyak masak di pasaran

File photo depicting KPDNHEP personnel conducting a routine inspection on the prices of cooking oil at a local supermarket.

KUCHING, 12 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak sentiasa melaksanakan pemeriksaan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas rakyat termasuklah harga minyak masak di pasaran.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasanya Mogan Arumugam, ia supaya tiada pihak mengaut keuntungan tinggi dan tidak munasabah sehingga mengakibatkan peningkatan harga barangan di pasaran khususnya di saat negara sedang dilanda pendemik Covid-19.

Katanya, pada masa ini terdapat sebanyak 13 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh Sarawak meliputi kawasan Kuching, Bintulu dan Miri.

“Jumlah pengedaran adalah sebanyak 3,917 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan untuk seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar,’katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mogan, sebanyak 402 pemborong dilantik di seluruh Sarawak bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi terdapat di pasaran serta mudah diperolehi.

Disamping itu katanya, sebanyak 271 Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan 84 Pemborong Daerah Terpilih (DDW) telah dilantik bagi memastikan barang-barang keperluan asas termasuk minyak masak tidak terputus bekalan di pasaran.

Dalam pada itu, Mogan memaklumkan bahawa bermula 9 Jun 2021 sebanyak 25 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan pada pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan OPS CATUT 8.0 2021 (TLD-Minyak Masak).

Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan di pelbagai peringkat perniagaan bagi mengesan sekiranya berlaku pencatutan iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah. — DayakDaily