KPDNHEP lancar Ops Pantau 2022 dan Nombor Aduan Tambahan

Nanta (tiga dari kiri) pada Pelancarkan Ops Pantau 2022 dan Nombor Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

KUCHING, 3 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi Ops Pantau 2022.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, operasi bertujuan memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.

“Ops Pantau 2022 merupakan kesinambungan kepada Ops Pantau yang telah dilaksanakan pada tahun 2021.


“Ia bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh para peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara mulai 1 April lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Nanta mengadakan Sesi Walkabout Pelancarkan Ops Pantau 2022 dan Nombor Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di CCK Local, Pusat Komersial City Mall.

Beliau yang juga MP Kapit menambah, operasi dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit.

Katanya, pemeriksaan memfokuskan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak.

Ia termasuk pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pendekatan penguatkuasaan memberi fokus kepada pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar ke atas harga barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah, ayam, telur ayam dan barang untuk membuat kuih muih supaya barangan yang dijual mempunyai tanda harga.

“Penguatkuasaan juga fokus kepada barang kawalan yang ditetapkan oleh Kerajaan dan lain-lain barang bagi mengelakkan aktiviti pengambilan keuntungan secara tidak munasabah,” katanya.

Menerusi Ops Pantau 2021 yang dilaksanakan mulai 13 April 2021 sehingga 20 Mei 2021 lalu, sebanyak 65,806 premis telah diperiksa di seluruh negara dan 551 kertas siasatan telah dibuka.

Ia melibatkan beberapa kesalahan antaranya gagal mempamerkan tanda harga, menjual barang melebihi harga maksimum yang ditetapkan, menggunakan timbangan yang tidak ditentusahkan, menjual barang tiruan dan kesalahan berkaitan jualan murah.

Sementara itu tambah Nanta, Kementerian telah mewujudkan nombor telefon aduan tambahan hasil kerjasama dengan rakan strategik KPDNHEP iaitu syarikat telekomunikasi Celcom.

“Ini bagi menangani aduan pengguna dengan lebih pantas dan efisien, memudahkan pengguna untuk melaporkan sebarang aduan yang berkaitan kepada pihak KPDNHEP bermula hari ini,” ujar beliau.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga berhubung perkara di atas boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 6 atau Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my — DayakDaily