Program Jualan Keluarga Malaysia jangkaui 100 peratus kawasan parlimen Sarawak

Pegawai KPDNHEP dan peserta Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) merakamkan kenangan bersama.

KUCHING, 26 Mac: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini telah menjangkau 100 peratus kawasan perlimen di negeri Sarawak.

Menurut Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Sarawak Dato Stanley Tan, program telah diadakan di lebih 95 lokasi.

Katanya, ini meliputi Kuching, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah, Belaga, Bintulu, Miri, Limbang, Batang Lupar, Baram, Tanjong Manis, Saratok, Igan, Kabong, Kapit, Santubong, Samarahan, Serian, Kota Samarahan, Sibuti, Bau, Lundu, Stutong, Kanowit, Song, Puncak Borneo dan Lawas.


“Diharapkan penduduk tempatan di lokasi-lokasi tersebut mengambil peluang ini untuk menikmati barang-barang yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PJKM edisi 26 dan 27 Mac 2022 diadakan serentak di Gedong, Serian, Medamit Limbang, Marudi, Sebuyau, Saratok, Tanjong Manis, Igan dan Mukah.

Dalam pada itu, Stanley berkata sambutan pengguna dan peniaga di semua lokasi program di Sarawak terus menunjukkan peningkatan.

Ujar beliau, pengunjung yang telah membanjiri PJKM Sarawak sehingga 20 Mac 2022 telah meningkat kepada 133,601 orang dengan jualan keseluruhan telah mencecah RM2.518 juta.

“Maklumbalas orang ramai rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini diteruskan secara berkala serta mengakui bahawa harga yang ditawarkan lebih berpatutan dan dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini,” katanya.

KPDNHEP menggalakkan rakyat Sarawak untuk merebut peluang ini untuk berjimat dalam pembelian barang keperluan rumah yang ditawarkan di PJKM seperti Ayam, Makanan laut, Sayur-Sayuran, Minyak Masak, Gula, Tepung, Beras dan lain-lain keperluan rumah. —  DayakDaily