86 usahawan Sarawak mampu jana hasil jualan RM 1.2 juta

Rohani (duduk tengah) bergambar bersama usahawan Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, Nov 27: Seramai 808 orang telah dilatih dalam Program E-Usahawan di Sarawak dan latihan masih berjalan sehingga penghujung tahun ini bagi mencapai sasaran melatih 3,000 orang usahawan mikro di negeri di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata, daripada jumlah itu
seramai 86 orang telah menjana sebanyak RM1,215,047 jualan melalui talian menggunakan medium Facebook dan Instagram.

“Jumlah ini agak membanggakan kerana berjaya menambah hasil pendapatan usahawan mikro di Sarawak,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penangguhan Program E-Usahawan dan E-Rezeki di dewan suarah, di sini, hari ini.

Katanya, program E-Usahawan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan satu bentuk inisiatif MDEC dan kerajaan untuk membudayakan keusahawanan digital dalam kalangan rakyat justeru turut merancakkan ekonomi negara.

“Jika dilihat perjalanan Program E-Usahawan ini adalah dari tahun 2015 hingga 2017 yang mana pada dasarnya merupakan program rintis bagi melahirkan usahawan muda dan mikro melalui silibus pembelajaran digital,” katanya.

Katanya, pada tahun lalu program ini diperluas kepada skala yang besar dengan termeterai perjanjian bersama agensi-agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi pencapaian rintis yang membanggakan serta Program Rintis Bakal E-Jutawan.

“Jumlah peserta mikro yang telah dilatih secara keseluruhan di negara ini adalah seramai 96,034 orang; seramai 29,611 orang melaporkan jualan tambahan manakala sebanyak RM115.7 juta jumlah laporan jualan tambahan sehingga September 2017,” katanya. — DayakDaily