Program Karnival MOST mengumpul aspirasi masyarakat luar bandar melalui dialog TN50

Peserta Karnival MOST bergambar kenangan bersama Dato' Sri Rohani Abdul Karim.

SRI AMAN, Nov 26: Seramai 600 orang yang terdiri daripada sukarelawan dan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita telah menyertai Program Dialog TN50 bersama Dato’ Sri Rohani Abdul Karim,
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P201 Batang Lupar.

Menurut satu kenyataan media, dialog TN50 yang telah diadakan berjaya mengumpul sebanyak 21 aspirasi yang
berkaitan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) daripada masyarakat luar bandar. Antara aspirasi yang telah disampaikan oleh peserta adalah agar menjelang tahun 2050 negara dapat melahirkan sukarelawan yang berjiwa kesukarelawanan sanggup berkorban apa saja demi kepentingan masyarakat dan negara.

Dialog TN50 yang diadakan pada kali ini adalah sempena Program Karnival
MOST yang dihoskan sepenuhnya oleh Rohani.


Karnival MOST yang diadakan bertujuan untuk menghebahkan pemilihan Rohani sebagai Presiden Intergovernmental Council of the Management of Social Transformations (MOST) UNESCO bagi penggal kedua tahun 2017 hingga 2019.
Beliau telah berjaya menyandang jawatan
tersebut sewaktu menghadiri Extraordinary Meeting of Management of Social Transformation Programme pada Nov 11 di Paris, Perancis.

Management of Social Transformations Programme atau lebih dikenali sebagai
MOST Programme merupakan salah satu program di bawah Suruhanjaya Sains
Sosial, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ianya bertujuan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program dan aktiviti UNESCO yang berkaitan dengan bidang sains sosial seperti transformasi sosial, inklusiviti, kesaksamaan gender dan sebagainya.

KPWKM menjadi tonggak utama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti MOST di
Malaysia. Justeru itu, program-program yang diatur seperti Seminar Gender Sensitization, Seminar Akta Keganasan Rumahtangga dan sesi Dialog
TN50 Bersama Sukarelawan dan NGO Wanita merupakan platform MOST School yang disediakan oleh pihak Kementerian melalui Institut Sosial Malaysia
(ISM) dalam usaha mentransformasikan bidang sosial rakyat Malaysia secara
amnya.

Program semalam turut dihadiri oleh Datuk Suriani Ahmad, Ketua Setiausaha, KPWKM; Indit Bangai, Residen
Bahagian Sri Aman; Dr Al Azmi Bakar, Pengarah Institut Sosial Malaysia,
serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi. — DayakDaily