MBKS mengalukan kerjasama Jawatankuasa Komuniti Kawasan demi kesejahteraan penduduk

Rohani (kiri) menerangkan peranan Jawatankuasa Komuniti Kawasan kepada media. Turut kelihatan Chan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 23: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengalu-aluka kerjasama dengan empat Jawatankuasa Komuniti Kawasan (JKK) demi kesejahteraan penduduk.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan Kay Syn berkata melalui kerjasama tersebut, penduduk khasnya di empat kawasan terbabit akan menerima perkhidmatan terbaik dari kerajaan.


Menyambut baik penubuhan empat JKK tersebut iaitu JKK Ellis, JKK Lumba Kuda, JKK Sekama dan JKK Ang Cheng Ho, Chan berkata ianya akan menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Zon MBKS yang telah dibentuk.

“Kita (MBKS) telah menubuhkan Jawatankuasa Zon yang berperanan menyelesaikan permasalahan di setiap zon.

“Dengan tertubuhnya jawatankuasa kawasan, kita akan ada dua bentuk komunikasi yang akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa menerima kunjungan ahli-ahli daripada empat JKK tersebut di pejabat beliau di Bangunan MBKS hari ini.

Kunjungan itu diketuai Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Ketua SUPP Cawangan Kuching Datuk Lily Yong.

Duduk tiga dari kiri: Yong dan Rohani mengetuai kunjungan ke pejabat Chan (duduk empat dari kanan) di Kuching.

Dalam pada itu, Rohani yang juga penasihat jawatankuasa berkata JKK yang baru dibentuk akan menerima apa-apa sahaja aduan berkaitan dengan permasalahan penduduk.

“Masalah keselamatan, kebersihan, pengangkutan dan sebagainya akan kita cuba selesaikan melalui sistem ini.

“Kesejahteraan penduduk adalah keutamaan kita dan kita juga ingin menjadikan Kuching sebuah bandaraya terbaik,” kata Rohani.

Menurut beliau, JKK Ellis dan Lumba Kuda dikawalselia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Padungan manakala JKK Sekama dan Ang Cheng Ho dibawah SUPP Kuching.

Majlis pelancaran semua empat JKK akan diadakan pada April 27 ini di Dewan Masyarakat Kuching. — DayakDaily