MP Batang Lupar gesa kerajaan sediakan masyarakat luar bandar dengan keperluan asas baru ekonomi

Dato Sri Rohani Abdul Karim

KUCHING, 29 Sept: MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Karim menggesa kerajaan mempersiapkan masyarakat luar bandar dengan keperluan asas baru ekonomi.

Katanya, telefon pintar, komputer dan laptop serta jaringan hubungan Internet kini merupakan keperluan asas.

“Landskap ekonomi dunia kini berubah dan mempengaruhi penyusunan semula kegiatan ekonomi terutamanya semasa pandemik Covid-19 menular.


“Ini apabila terdapatnya peningkatan mendadak terhadap jumlah penyertaan dalam ekonomi gig dan digital khususnya di negara ini.

“Masyarakat luar bandar yang turut mendapat tempias daripadanya,” katanya pada perbahasan di sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Rohani, kerangka ekonomi negara seharusnya mempunyai strategi khusus untuk membantu ekonomi luar bandar dalam aspek ini.

Menurut beliau, daerah di luar bandar tidak mempunyai ketersediaan teknologi seperti kawasan bandar.

“Mengambil contoh mudah apabila masyarakat di luar bandar menikmati kemudahan sistem transaksi melalui e-wallet dengan kemudahan jaringan Internet yang stabil dan meluas.

“Maka pengeluaran tunai menerusi ATM di bank juga akan dapat dikurangkan bila mana masalah kekurangan kemudahan perbankan terus meresahkan masyarakat luar bandar.

“Ini seperti di kawasan saya Batang Lupar yang terpaksa beratur dari dinihari selama berjam-jam lamanya untuk mendapatkan wang tunai hingga kini,” kata Rohani. — DayakDaily