49 peratus keseluruhan Projek RMK11 dibiayai kerajaan Sarawak berjaya siap

Tan Sri Dr James Jemut Masing

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 13 Okt: Sejumlah 485 daripada 954 projek fizikal kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibiayai kerajaan Sarawak berjaya disiapkan sehingga 30 September lalu.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, jumlah itu meliputi 50.8 peratus jumlah keseluruhan projek dengan 469 projek atau 49.2 peratus masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.


“Sehingga kini, sebanyak 1,500 projek kerajaan persekutuan dibawah RMK-11 yang dibiayai kerajaan Sarawak melibatkan peruntukan berjumlah RM37.11 bilion telah diluluskan untuk dilaksana dibawah rancangan tersebut.

“Daripada 1,500 projek tersebut, 954 projek merupakan projek berbentuk fizikal manakala selebihnya atau 546 projek lagi berbentuk bukan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Bengkel Pentadbiran Kontrak Ke Arah Kecemerlangan Penyampaian Projek Kerajaan Sarawak di Hotel UCSI di sini, hari ini.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur (MIPD) berkata, sebanyak 12,729 projek diluluskan oleh kerajaan Sarawak dibawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) melibat peruntukan berjumlah RM2.94 bilion.

“Daripada keseluruhan projek RTP bagi tempoh lima tahun tersebut, 8,948 projek atau 70.3 peratus telah berjaya disiapkan manakala 3,781 projek lagi atau 29.7 peratus lagi di pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.

Tambah Masing, projek RTP bagi tahun 2020 yang diluluskan kerajaan Sarawak mengalami sedikit kelewatan dalam perlaksanaannya susulan impak daripada pandemik Covid-19.

“Bagi tahun 2020, daripada 2,721 projek yang diluluskan, tujuh projek atau 0.3 peratus berjaya disiapkan,” katanya,

Ujarnya, satu kumpulan dipimpin oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU) bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan menyenaraikan isu-isu pelaksanaan, langkah penyelesaian atau intervensi dan laporan analisis projek sebagai asas panduan untuk digunakan oleh pasukan petugas di setiap bahagian pelaksanaan.

“Saya memahami bahawa pengurusan sesuatu projek adalah sukar kerana tiada satu jalan penyelesaian yang sempurna kepada setiap masalah yang dihadapi.

“oleh yang demikian, saya bersyukur kementerian saya (MIPD) diberi tanggungjawab untuk mengkoordinasikan agensi kerajaan berkaitan dan sektor swasta untuk mencari jalan penyeselesaian dalam mengatasi masalah kelewatan dalam pelaksanaan projek serta meningkatkan lagi proses pelaksanaan sesuatu projek tersebut,” katanya. — DayakDaily