Tiada nombor pendaftaran, sebuah bot ditahan

Lokasi bot ditahan ketika sedang menuju masuk ke Sungai Miri oleh pihak Maritim Miri.

Oleh Nancy Nais

MIRI, 13 Okt: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot yang tanpa nombor pendaftaran ketika sedang menuju masuk ke Sungai Miri.

Menurut pengarah zon Maritim Miri Kepten Maritim Md. Fauzi Othman dalam satu kenyataan media, hasil maklumat orang awam, bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 2.4 batu nautika dari Miri oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Permai pada jam lebih kurang 1.10 pagi tadi.


“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak memiliki lesen bot dari Jabatan Laut. Bot dan empat kru lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun ditahan dan diiring ke jeti pusat tahanan vesel untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mempamerkan lesen bot semasa diperiksa dan jika disabit kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM10 ribu,” tambah Md. Fauzi.

Beliau menegaskan kepada komuniti maritim bahawa Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Maritim di perairan negara walaupun keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu terutamanya pada fasa peralihan monsun Barat Daya yang bermula dari 24 Sept hingga awal November ini.

Komuniti maritim juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan ketika turun ke laut.–DayakDaily.