Tidak wajar kerajaan negeri biayai kos penyelenggaraan jalan persekutuan

Datuk Sri Fadillah Yusof

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 4: Kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian, bahawa kerajaan negeri mungkin diminta menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan kampung menggunakan dana sendiri berikutan belanjawan terhad, adalah tidak wajar.

Demikian tegas bekas Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media hari ini.

Ini kerana penyelenggaraan jalan persekutuan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia dilaksanakan syarikat konsesi yang dilantik, ujar beliau.

“Bagi penyelenggaraan jalan negeri, ia dikendali melalui kerajaan negeri tetapi peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Maka sebagai Menteri Kerja Raya, Baru seharusnya berusaha dan berjuang untuk mendapatkan peruntukan berkenaan daripada Menteri Kewangan seperti yang saya pernah buat dulu ketika berada di jawatan sama,” katanya.

Fadillah menambah, setiap kali peruntukan tidak mencukupi untuk penyelenggaraan jalan sebelum ini, beliau akan bertanggungjawab memohon supaya peruntukan ditambah dan tidak pernah menyerahkan kepada negeri untuk menanggung kos berkenaan.

Jelasnya, sudahlah peruntukan untuk Sarawak dipotong, kini kerajaan negeri diminta pula menanggung sendiri kos penyelenggaraan.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Sebagai menteri dari Sarawak, beliau (Baru) sepatutnya berjuang untuk kepentingan Sarawak, bukannya menurut sahaja apa diputuskan oleh kerajaan pusat,” kata Fadillah.

Dalam sidang media di Pulau Pinang hari ini, Baru telah mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan mungkin meminta kerajaan negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung menggunakan dana sendiri tahun ini.

Jalan persekutuan dan kampung biasanya diselenggara melalui dana Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. — DayakDaily