HUS menjemput orang ramai menyertai kempen derma darah

Gambar orang ramai yang menyertai kempen derma darah di Wisma Saberkas pada 1 Jan lepas yang disiarkan laman Facebook Blood Bank SGH.

KUCHING, 4 Jan: Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) ingin menjemput orang ramai untuk menyertai kempen derma pada hujung minggu ini.

Berdasarkan jadual Kempen Derma Darah yang disiarkan di laman Facebook Blood Bank Sarawak General Hospital, empat kempen akan diadakan di sekitar bandaraya pada Sabtu dan Ahad (Jan 5-6).

Pada hari Sabtu, One Medicare akan menganjurkan kempen menderma darah di Bank Darah HUS dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Persatuan Derma Darah Sarawak pula akan menganjurkan kempen serupa di pasaraya Giant Tabuan Jaya, dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Pada hari Ahad, kempen derma darah anjuran Persekutuan Belia Cina akan diadakan di hadapan Daiso di pusat membeli-belah Boulevard dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

Kempen serupa juga turut diadakan di pusat Poh Yeh Chin Ser di Jalan Stapok, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Gambar jadual kempen derma darah Bank Darah HUS minggu ini.
Antara beg-beg darah yang berjaya dikumpul pada kempen 1 Jan lepas.

“Untuk makluman, semua kempen di tersebut telah disahkan mengikut jadual. Jika ada sebarang perubahan, akan kami maklumkan dengan segera,” menurut kenyataan di halaman Facebook berikut.

Pihaknya sehubungan itu mengingatkan orang ramai yang mahu menderma darah untuk mendapatkan rehat secukupnya dan mengambil makanan secukupnya sebelum menderma darah.

Bank darah HUS telah memulakan kempen derma darah tahun ini degan sambutan menggalakkan, di mana 193 beg darah berjaya diperolehi dalam kempen anjuran Syarikat Liansin Trading Sdn Bhd di Wisma Saberkas pada 1 Jan lepas. — DayakDaily