Teliti, pertimbang semula sesi persekolahan secara bersemuka, kata Zulhaidah

File photo for illustration purposes. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 17 April: Kerajaan harus mengambil langkah teliti dan wajib mempertimbangkan semula sesi persekolahan secara bersemuka tatkala situasi penularan Covid-19 di Sarawak berada pada tahap yang agak membimbangkan.

Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak Zulhaidah Suboh berkata, jika Dewan Rakyat dan Dewan Negara ditutup daripada bersidang, situasi sama juga boleh diguna pakai untuk dilalsanakan bagi sesi persekolahan bersemuka.

“Seperti yang kita maklum bahawa kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah serta individu yang mempunyai masalah sistem imun tidak akan diberikan vaksin Covid-19.


“Jika Dewan Rakyat ditutup untuk bersidang di mana wakil rakyat dan para menteri di kalangan dewasa dan berpendidikan malah sudahpun mengambil vaksin Pfizer kenapa pula anak-anak di bawah umur digesa untuk sesi persekolahan secara besemuka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam mendepani penularan wabak Covid-19 , ketidaksamaan penjagan kesihatan di Sarawak amat ketara di mana terdapat daerah yang sepatutnya memiliki kemudahan hospital tidak dapat dinikmati oleh masyarakat setempat.

Malah ada daripada golongan masyarakat ini yang terpaksa berulang alih ke Hospital yang berhampiran walaupun perjalanan mengambil masa, tenaga dan kos lain yang perlu ditanggung oleh mereka.

“Ini adalah masanya kerajaan harus memandang serius untuk penambahbaikan klinik kesihatan, pembinaan hospital dan fokus kepada pelaburan perubatan selain pemulihan ekonomi dan sosial negeri,” katanya.

Zulhaidah yang juga Ketua Wanita Keadilan Sibuti berkata, peningkatan kes wabak berkenaan sejak akhir-akhir ini di beberapa daerah sehingga ke kawasan luar bandar merupakan petanda gelombang keempat pandemik Covid-19 yang bakal dihadapi oleh rakyat Sarawak.

Katanya, situasi yang mana golongan menteri di kecualikan daripada arahan kuarantin wajib 14 hari serta bebas membuat program berkaitan sehinga ada ada yang tidak mematuhi SOP seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengecewakan rakyat.

Ini kerana ujar beliau, kelonggaran tersebut tidak seharusnya berat sebelah dalam pelaksanaannya walaupun ada di kalangan mereka sudah mengambil vaksin.

“Menteri dan wakil rakyat harus mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh KKM seperti yang diwar-warkan kepada rakyat dan tiada pengecualian dari segi pelaksanaan.

“Mereka ( menteri dan wakil rakyat) harus mengambil berat kepada masyarakat di sekeliling,” ujarnga.

Tambah Zulhaidah, Keadilan Sarawak turut mengesa Kerajaan Persekutuan Pinpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menyegerakan program pemberian vaksin di Sarawak.

Ia bagi memastikan keadaan penularan Covid-19 yang menunjukkna pwningkatan kini terkawal terutamanya melibatkan penduduk di Kawasan luar bandar yang kini mula terkesan.

“Kluster demi kluster dilaporkan, kes wabak Covid-19 mencanak naik namum sesi persekolahan secara bersemuka tetap dijalankan. Ini adalah antara punca penularan rantaian wabak berjangkit semakin meluas dan aktif disebarkan,” katanya. — DayakDaily