Tiada taraf warganegara, kanak-kanak tercicir sesi persekolahan

Abun (kanan) bersama keluarga yang datang meminta pertolongan beliau.

KUCHING, 8 Mac: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Kerajaan selesaikan isu seorang kanak-kanak perempuan yang tidak diterima masuk bagi sesi persekolahan 2021 – 2022 yang lepas.

Timbalan Pengerusinya Abun Sui Anyit berkata, kanak-kanak tersebut tidak diterima masuk kerana tiada taraf kewarganegaraan.

Katanya, kanak-kanak tersebut ingin memasuki era persekolahan iaitu mendaftar tahun satu bagi sesi 2023.


“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang boleh diumpamakan ke atas mereka yang tiada taraf kewarganegaraan.

“Di mana empat sekeluarga datang berjumpa dengan saya pada hari ini sejurus saya balik dari Kuala Lumpur untuk urusan yang sama menghantar dokumen permohonan kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abun, hanya bapa sahaja ada taraf warganegara, manakala ibu dan dua anak berbangsa Iban tidak ada taraf kewarganegaraan Malaysia.

Katanya, Ibu kanak-kanak tersebut malah buta huruf, mungkin kesan tidak dibenarkan ke sekolah kerana ketiadaan taraf warganegara.

“Masalah ini diwarisi oleh anak-anak.

“Tujuan mereka datang berjumpa kerana ingin memohon pertolongan agar anak (kakak) dapat masuk sekolah setelah tidak diterima ke sekolah sesi 2021-2022,” kata Abun. — DayakDaily