Oleh Chris Bishop
KUCHING, 13 Ogos: Sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding) akan dilaksanakan buat pertama kali di Sarawak bermula 24 September ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah, berkata sistem e-bidding akan bermula dengan nombor siri QCK bagi Samarahan dan QS dengan hujungnya L untuk Sibu.
“Sistem ini telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bermula 15 April dan mendapat sambutan yang baik.
“Untuk tujuan bidaan dalam talian semua dikehendaki memiliki ID awam, jadi masih ada masa lagi untuk orang awam membuat pendaftaran di mana-mana cawangan JPJ untuk wujudkan akaun sebab tanpa ID awam mereka mungkin tidak dapat masuk bidaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Korban JPJ Sarawak 2019 di Perkarangan Surau An Nur, Ibu pejabat JPJ Sarawak, hari ini.
Tambah Mohd Syafiq, JPJ Sarawak akan membuat pengumuman secara rasmi kepada orang awam seminggu sebelum tarikh e-bidding pada 24 September ini.
Selepas Samarahan dan Sibu, sistem e-bidding ini akan dilaksanakan di Kuching dan Miri dengan nombor siri yang akan diumumkan nanti.
Dari segi kebaikan, sistem ini, menurut Mohd Syafiq, adalah lebih telus serta dapat mengelak penglibatan orang tengah.
Dengan cara ini katanya, ia dapat memberi peluang untuk orang awam melihat sendiri jumlah bidaan yang dibuat oleh orang lain.
“Sistem e-bidding ini bukan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan JPJ, tetapi untuk memudahkan urusan pembelian nombor sebab sebelum ini ianya diberi secara manual dan biasanya ada campur tangan pihak tertentu.
“Melalui sistem ini, kita dapat mengurangkan campur tangan dalam membuat keputusan dan sebagainya sebab sistem automatik akan menjana harga,” ujarnya. — DayakDaily