JPJ Sarawak akan membuka pejabat pada Sabtu dan Ahad

Mohd Syafiq Anas Abdullah (tiga dari kanan) melepaskan acara Kayuhan Basikal D'Ambang Merdeka di Ibupejabat JPJ Sarawak, Batu 12, Jalan Penrissen, di Kuching, hari ini (Aug 30, 2020).

KUCHING, 30 Ogos: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan membuka pejabatnya pada hari Sabtu dan Ahad bagi membolehkan orang ramai di negeri ini memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) mereka sebelum 30 September depan.

Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata ini selepas Menteri Penangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan yang pengecualian pembaharuan LMM dan LKM akan ditamatkan mulai 31 Ogos dan orang ramai diberi masa hingga 30 September depan bagi memperbaharui lesen dan cukai jalan itu.

“Walau bagaimanapun untuk Sabtu dan Ahad, pejabat dibuka daripada pukul 8 pagi hingga 1 petang sahaja, pembayarannya secara e-payment.


“Jadi saya galakkan supaya orang ramai datang ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) ataupun pejabat kita pada hari biasa ataupun hujung minggu,” katanya pada sidang media sebelum melepaskan seramai 300 peserta acara Kayuhan Basikal D’Ambang Merdeka  di Ibupejabat JPJ Sarawak, Batu 12, Jalan Penrissen, di sini, hari ini.

Mohd Syafiq Anas Abdullah pada sidang media sebelum melepaskan acara Kayuhan Basikal D’Ambang Merdeka.

Mohd Syafiq berkata, oleh kerana orang ramai masih diberi masa sehingga 30 September depan bagi memperbaharui LMM dan LKM, pihaknya tidak akan menyaman atau mengambil tindakan terhadap pemandu yang belum memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan itu yang sudah tamat tempoh di negeri ini.

“Tetapi kita akan mengambil rekod pemandu dan juga pengguna jalan raya terbabit bagi memastikan mereka memperbaharui lesen (LMM) dan cukai jalan (LKM) dalam masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya pengecualian dari dikenakan tindakan sehingga 30 September terbabit bagaimanapun tidak terpakai sekiranya pemandu tidak memperbaharui insuran kenderaan masing-masing kerana semua kenderaan perlu ada insuran untuk berada di jalan raya samada kereta, motosikal atau kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, dalam sidang media itu, Syafiq juga mendedahkan dari 1 Ogos sehingga 27 Ogos lepas, pihaknya berjaya mengutip keseluruhannya sebanyak RM218,556.10 bayaran saman JPJ di  negeri ini selepas Menteri Pengangkutan mengumumkan pemberian diskaun bagi bayaran saman itu di seluruh negara sehingga 70 peratus dari 1 hingga 31 Ogos ini.

Tawaran diskaun itu diberikan sempena bulan Kemerdekaan adalah  bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.-DayakDaily