Anak Sarawak digalakkan menjadi anggota tentera darat sebagai kerjaya

Zamrose ( dua dari kiri) menyerahkan daging lembu kepada penduduk kampung di Majlis Ibadah Korban Sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha Markas Pemerintah Medan Timur Tentera Darat Bersama Penduduk Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan, di Serian.

SERIAN, Ogos 13: Pasukan tentera darat ketika ini sedang berusaha mempromosikan kerjaya sebagai anggota tentera darat kepada lebih ramai anak penduduk Sarawak.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata pihaknya berharap mereka tidak pula terlalu membandingkan gaji kerjaya tersebut dengan kerjaya lain yang lebih lumayan.

“Sekurangnya kerja yang kita (pasukan tentera darat) buat itu demi untuk negara dan agama,” katanya ketika menghadiri Majlis Ibadah Korban Sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha Markas Pemerintah Medan Timur Tentera Darat Bersama Penduduk Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan, di sini, semalam.

Majlis terbabit menyaksikan penyembelihan seekor lembu sumbangan pasukan tentera darat kepada penduduk kampung. Majlis turut dihadiri Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu, Ketua Staf Am, Brig Jen Datuk Kamarol Fauzi Mohd Said dan Ketua Kaum Kampung Darul Islam Belimbing, Hussein Banyak.

Zamrose sehubungan itu mahu mempromosikan kerjaya sebagai tentera darat juga kepada anak penduduk Kampung Darul Islam Belimbing yang selama ini mempunyai hubungan silaturahim yang rapat dengan pasukan tentera darat.

“Saya juga merancang kalau ada apa-apa perbarisan dan acara tentera, kita jemput (penduduk kampung). Datang atau tidak datang (penduduk kampung ke acara terbabit) itu saya serahkan kepada pihak jawatankuasa (kampung),” katanya.

Beliau berkata ketika ini purata keluarga di kampung itu menerima pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan dari pelbagai aktiviti ekonomi terutamanya menenun kain tradisional “keringkam” bernilai tinggi dan ada kain itu sehingga berharga RM10,000 sehelai.

Zamrose berkata malahan ada penduduk kampung itu yang pendapatan maksima mencecah RM10,000 sebulan yang bersamaan gaji seorang pegawai tentera dan beliau juga memberi jaminan pasukan tentera darat akan berusaha terus memberi bantuan kepada kampung itu. — DayakDaily