Sebagaimana PH, GPS juga digesa tidak tabur janji untuk rakyat Sarawak: Brolin

Brolin Nicholsion

KUCHING, 5 Feb: Setelah Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa PH berhenti menabur janji untuk rakyat Sarawak, Ketua Pemuda DAP Serian Brolin Nicholsion turut menggesa perkara yang sama dilakukan GPS.

Katanya, kenyataan Abdul Karim menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk berhenti menaburkan janji kepada Sarawak seharusnya ditujukan juga kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak(GPS).

“Ini kerana setelah sekian lama menjadi kerajaan, GPS yang dahulunya sebahagian dari Barisan Nasional (BN) gagal untuk memulangkan kembali hak-hak Sarawak.


“Malah, sebelum pilihanraya umum yang lepas, PH Sarawak telah mengajukan ‘deal’ berkenaan dengan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus cukai dari Sarawak harus digunakan untuk pendidikan dan kesihatan tetapi ditolak oleh pemimpin GPS,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Justeru, Brolin berkata pemimpin GPS seharusnya sedar akan kesalahan mereka sendiri.

Menurut beliau, GPS gagal untuk mentadbir Sarawak dengan baik sehingga banyak kawasan di pendalaman berada didalam keadaan yang sangat daif dan tiada infrastruktur asas seperti bekalan air bersih.

“PH mewarisi sistem pentadbiran yang lemah dan ini menyebabkan banyak janji tidak dapat ditunai secara langsung tetapi memerlukan.

“Lihat kepada apa yang telah anda pemimpin GPS gagal tunaikan kepada Sarawak daripada menunding jari kepada pihak yang baru dua tahun memerintah,” ujar Brolin.

Semalam, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan membidas tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sekali lagi berjanji akan menunaikan janji-janji semasa PRU14 lepas.

Menurut Abdul Karim, Lim bersama Chong Chieng Jen (Pengerusi DAP Sarawak) berjanji bahawa bayaran royalti minyak kepada Sarawak akan dinaikkan dari 5 kepada 20 peratus dan 50 peratus dari hasil cukai yang dikutip di Sarawak akan dikembalikan kepada negeri ini.

Beliau mahukan DAP menunaikan janji-janji tersebut dahulu yang sehingga kini tiada satu pun ditunaikan. —DayakDaily.