Datuk Bandar MBKS tidak akan menjadi calon dalam pilihan raya negeri

Wee (empat kiri) menerima cenderahati dari Pengerusi MATTA Sarawak Lina Tsen Pei Tsin selepas merasmikan pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak di Bangunan MBKS hari ini.

KUCHING, 5 Feb: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang beliau akan aktif dalam politik dan menjadi calon pada pilihan raya negeri yang bakal menjelang.

“Jangan dengar khabar anginlah, saya fikir ada ramai calon yang berpotensi dari mana sahaja mereka berada, saya akan kekal dengan tugas saya (sebagai Datuk Bandar),” katanya selepas merasmikan pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak di Bangunan MBKS hari ini.

Wee berkata ini disebabkan oleh tugas barunya sebagai Datuk Bandar MBKS, dan mendapati bahawa dalam skop kerja beliau masih banyak yang perlu dilakukan di MBKS.


“Malahan petang ini, kami bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan menerangkan tentang koronavirus dan penggunaan yang betul topeng muka. Selain itu ada permohonan berterusan Kenyalang Gold Card (melalui MBKS) dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sebagai Datuk Bandar MBKS hanya menyerahkan kepada ahli politik bagi melakukan urusan yang berkaitan politik menjelang pilihan raya negeri ini. —DayakDaily