PRS Engkilili/Batang Ai tidak setuju Jugah sertai semula PRS

Roy Gingkoi

KUCHING, 27 Feb: MP Lubok Antu Jugah Muyang belum dan bukan ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS), tegas ‘caretaker’ PRS Bahagian Engkilili Roy Gingkoi.

Menurut beliau, sebarang percubaan untuk membawa Jugah menyertai parti semula sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan ahli-ahli PRS Engkilili.

“Masih ada beberapa ahli-ahli parti yang lain tidak bersetuju dengan penyertaan semula Jugah sebagai ahli PRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roy menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi PRS Engkilili TR Bangkong yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan pada 23 Februari lepas.

Tambah beliau, ini adalah kerana Jugah pada ketika itu merupakan ahli jawatankuasa PRS cawangan Engkilili tidak akur akan keputusan Majlis Tertinggi PRS yang mencalonkan mendiang Robert Pasang Alam sebagai calon parti di Lubok Antu ketika PRU14 pada tahun 2018.

Jugah telah bertanding dan menentang mendiang Robert Pasang Alam di atas tiket Bebas.

“Setelah Jugah menang di PRU14, beliau menyertai PKR (Parti Keadilan Rakyat). Ini jelas menunjukkan bahawa beliau sudah tidak berminat untuk meneruskan bersama perjuangan PRS.

“Namun, setelah keluar dari PKR, beliau telah dipelawa oleh mendiang Presiden PRS Tan Sri James Masing untuk menyertai PRS semula namun Jugah memilih untuk berdiam diri sahaja .

“Persoalannya, mengapa Jugah tidak menyertai PRS semula ketika beliau dipelawa oleh pengasas PRS sendiri iaitu mendiang Masing?

“Mengapa sekarang beliau memilih untuk menyertai PRS setelah undang-undang loncat parti dibahaskan di Parlimen?” tanya Roy.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa perkara sebeginilah yang harus dihalusi sebelum apa-apa tindakan atau keputusan dapat diberikan berkenaan dengan hasrat Jugah yang ingin menyertai semula PRS.

Roy juga berpendapat bahawa kenyataan Tr Bangkong adalah hanya pandangan persendirian beliau yang mana bukan suatu pandangan yang mewakili keseluruhan ahli PRS di Engkilili.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PRS Batang Ai Cr Agas@Gayih Thomas menyifatkan hasrat Jugah bagaikan ‘tidak menghormati’ pandangan dan suara rakyat di akar umbi.

Katanya, beliau (Jugah) hanya mendengar pandangan daripada penduduk Engkilili sahaja sedangkan rakyat Batang Ai adalah sebahagian daripada kawasan parlimen Lubok Antu.

“Tambahan pula, beliau tidak berbincang dengan pihak cawangan kami Parti PRS Batang Ai.

“Sepatutnya, perkara ini dibincangkan dahulu di peringkat cawangan Engkilili dan keputusan mutlak adalah dalam bidang kuasa Majlis Tertinggi Parti PRS dan bukan keputusan Timbalan Pengerusi PRS Engkilili iaitu Tr Bangkong,” tegas Cr Agas. — DayakDaily