Polis bakal soal siasat individu bantu empat warga Indonesia larikan diri

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 18 Dis: Polis akan menyoal siasat seorang individu yang dipercayai bertindak sebagai agen dalam membantu empat warga indonesia yang disah positif Covid-19 pulang ke negara asal mereka.

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, soal siasat tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat memandangkan individu terbabit masih berada dalam arahan kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, siasatan awal terhadap individu terbabit mendapati dia mendakwa tidak mengenali keempat warga Indonesia terbabit sebaliknya hanya membantu mereka untuk balik ke negara asal.


“Kemungkinan besar dia tidak akan mengaku. Bagaimanapun kita akan siasat dahulu kedudukan dia sama ada sebagai agen atau hanya membantu seperti yang didakwa olehnya,” katanya ketika ditemui selepas perlancaran Ops Selamat semperna Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata, keempat warga Indonesia terbabit balik ke Entikong, Kalimantan Barat, Indonesia dari Sibu dengan menaiki bas menuju ke Serian pada Rabu lalu.

Katanya, dipercayai ada sesorang yang mengambil mereka (warga Indonesia) semasa di Serian sebelum berjalan kaki menuju arah Entikong melalui laluan lorong tikus di sempadan Malaysia-Indonesia di Tebedu.

“KKM telah pun dimaklumkan berkenaan perkara itu dan sedang mengesan bas yang didakwa digunakan oleh keempat warga Indonesia terbabit.

“Ini bagi membolehkan siasatan dilakukan dan pengesanan kontak rapat semasa perjalanan mereka ini ke sempadan kita dan juga siapa yang dia bertemu di sempadan itulah,” katanya.

Terdahulu Aidi berkata, pihak polis masih mengesan nombor telefon yang digunakan oleh keempat warga indonesia tersebut ketika membuat panggilan kepada individu yang dipercayai membantu mereka.

Katanya, pengesanan itu dilakukan bagi memasikan sama ada pangilan tersebut dibuat dalam wilayah Sarawak atau di Entikong, Kalimantan Barat.

Bagaimanapun ujar Aidi, pihak polis yakin keempat-empat warga indonesia terbabit sudahpun berada di negara asal mereka. — DayakDaily