Terima kasih, Dato’ Aidi Ismail

Aidi (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Mancha.

KUCHING, 11 Feb: Seorang yang tegas dan peramah serta dianggap sebagai ‘mesra media’, sudah pasti perpindahan Dato’ Aidi Ismail dari Kontinjen Polis Sarawak akan jelas terasa.

Beliau yang mula menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak 18 Feb 2020 tidak pernah jemu melayan pertanyaan daripada pihak media, terutamanya berkenaan kes-kes jenayah yang berlaku di negeri ini.

Seperti yang pernah diperkatakan beliau, tujuan utama adalah untuk menyampaikan berita sahih kepada masyarakat umum agar tidak timbul spekulasi yang sehingga boleh mengugat ketenteraman awam.


Beliau yang berucap dalam majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak hari ini juga menyampaikan perhargaan beliau kepada pihak media dari pelbagai agensi di negeri ini.

“Terima kasih kepada pihak media kerana memberikan laporan yang adil dan sehingga harı ini, tiada lagi laporan yang dibuat tidak tepat seperti ibarat ‘cakap lain keluar lain’.

“Terima kasih atas kerjasama yang diberikan dan saya sangat menghargainya dalam membantu saya menyalurkan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau juga memohon agar masyarakat khususnya untuk terus memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.

“Ingin diingatkan, pencegahan jenayah bukan sahaja tugas polis semata-mata dan kita sentiasa memerlukan kerjasama daripada masyarakat terutamanya untuk menyalurkan maklumat tentang kejadian jenayah dan sebagainya.

“Sepanjang saya bertugas di sini, kita mendapat banyak maklumat yang disalurkan oleh masyarakat dan kita sentiasa memberi jaminan untuk melindungi pemberi maklumat,” katanya.

Dato’ Aidi akan memulakan tugas baharunya sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Bukit Aman berkuat kuasa pada 21 Februari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata akan memangku jawatan tersebut bermula hari ini.

Upacara serah terima tugas tersebut yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Dato’ Azri Ahmad.

Turut berlangsung ialah upacara serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak di antara Datin Raja Asaudat Raja Muda kepada Datin Jennita William dengan disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datin Norliah Othman. — DayakDaily