Op Selamat TBC: Polis Sarawak guna ‘In-Car Radar’

Aidi Ismail bersama tetamu jemputan melalukan flag off semasa majlis pelancaran Op Selamat tersebut hari ini.

KUCHING, 26 Jan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan menggunakan alat pengesanan had laju ‘In-Car-Radar’ sepanjang Op Selamat Ke-17 sempena Tahun Baharu Cina (TBC).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, setakat ini Sarawak cuma mempunyai lima unit kenderaan peronda yang dilengkapi dengan kemudahan tersebut dan ia akan ditempatkan di lima bandar utama di negeri ini.

Katanya, menggunakan kemudahan itu nanti akan memudahkan pihak polis mengesan mana-mana kenderaan yang mempunyai rekod kecurian, saman tertunggak dan mempunyau waran tangkap trafik.


“Selain itu, kita juga boleh memeriksa rekod kenderaan tersebut dengan cepat dan terus mengambil tindakan serta merta.

“In-Car Radar” itu telah diuji di Bukit Aman dan didapati berjaya.,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ops Selamat Ke-17 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Farley Mall Batu 6 dekat sini, hari ini.

Kata Aidi, seramai 750 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan dalam Op Selamat Ke-17 tersebut yang bermula 28 Januari hingga 6 Fabruari ini.

Kesemua anggota dan pegawai terbabit akan ditempatkan di 56 lokasi kawasan kerap kemalangan.

Sementara itu, rondaan di kawasan perumahan juga akan kerap dilakukan sepanjang Op Selamat ini.

“Anggota kita akan melakukan rondaan berkala bagi memastikan premis dan rumah kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dari sebarang pelakuan jenayah,” katanya. — DayakDaily