Perais harap kerajaan pertimbang naikan had Elaun Pekerja Cacat selari garis kemiskinan


KUCHING, 18 Mac: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) berharap kerajaan mempertimbangkan agar had maksimum penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan sehingga RM2,000 sebulan iaitu selari dengan paras kemiskinan di Malaysia.

Presiden Perais, Rapelson Richard Hamit berkata hal itu bersesuaian berdasarkan keadaan semasa yang mana pendapatan RM2,000 adalah di bawah paras kemiskinan selain tekanan kos sara hidup yang kian meningkat serta kelembapan ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, kata beliau perias menerima baik uasah kerajaan yang menaikkan had kelayakan gaji maksimum penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) daripada RM1,200 kepada RM1,500.


“Kenaikkan jumlah elaun EPC ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) berupaya membantu golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar akibat penularan Covid-19 ini.

“Inisiatif tersebut yang membabitkan peruntukkan berjumlah RM26 juta ini akan memanfaatkan lebih 5,000 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara termasuk ahli Perais,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rapelson berkata, Perais juga turut menyokong saranan Kerajaan Persekutuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma.

Katanya, menerusi program Pemerkasa juga, Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menyediakan RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit Istimewa bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus.

“Saranan dan peruntuukan di bawah Skim Mikrokredit Istimewa BSN ini pastinya akan memberikan galakkan kepada lebih ramai golongan OKU untuk turut serta memceburkan diri dalam bidang perniagaan sekali gus merubah nasib mereka,” katanya. — DayakDaily