Pemuda ditahan polis selepas menebang dua pohon pokok kelapa sawit milik ibunya selepas bertengkar

Suspek (berdiri tiga dari kanan, barisan hadapan) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

By Brad Rantayy

MIRI, 20 Nov: Tindakan seorang lelaki warga tempatan menebang dua pohon pokok kelapa sawit di kebun milik ibunya di Suai Niah pada penghujung bulan lalu membawa padah apabila dia ditahan polis pada petang Khamis untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas daripada suspek yang berusia 27 tahun itu adalah sebuah mesin gergaji yang disyaki telah digunakan dalam kejadian.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan daripada ibu suspek sendiri.

Suspek ditahan berhadapan sebuah rumah di Kampung Ogos Jambatan Suai, Jalan Miri-Bintulu sekitar jam 5 petang.

Dalam kejadian pada Oktober 26 itu, sekitar jam 7 malam, suspek dikatakan telah menggunakan sebuah mesin gergaji telah bertindak memotong dua pokok kelapa sawit di dalam kebun milik ibunya yang terletak di Kampung Penan Long Suvak, Jambatan Suai.

Difahamkan, kejadian ini bukan pertama kali berlaku, kerana sebelum ini, suspek juga telah menebang sebanyak lima pohon pokok durian milik ibunya.

Tangkapan dilakukan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. — DayakDaily