Dua pemuda ditahan selepas disyaki guna Perodua Kenari curi buah tandan segar sawit

Kedua-dua suspek (dua dari kiri dan tiga dari kanan) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Jun: Taktik dua pemuda warga tempatan dipercayai menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kenari untuk mencuri sebanyak 11 buah tandan segar kelapa sawit gagal, apabila mereka ditahan polis.

Penahanan suspek dibuat susulan satu laporan polis mengenai kehilangan 11 tandan segar sawit dari sebuah kebun persendirian berhampiran Kampung Lajong Kuala Niah baru-baru ini.


Kerugian dianggarkan sebanyak RM350.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (IPD) Miri menerusi Ops Pintu awal pagi tadi di dalam sebuah rumah sewa di Pekan Batu Niah.

Tangkapan dibuat sekitar jam 12.20 pagi tadi (Isnin), ujarnya.

Suspek berusia 39 dan 20 tahun itu kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 39 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau. — DayakDaily