Pemuda cekik, tumbuk dan tarik rambut isteri hingga mangsa pengsan, ditahan polis

Suspek (tiga dari kiri) ditahan diperkarangan Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut berhubungan kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Julai: Tindakan seorang lelaki mencekik, menumbuk dan menarik rambut isterinya sehingga mangsa pengsan membawa padah apabila ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Kejadian dikatakan telah berlaku di sebuah rumah di Pin Fook Garden di sini pada malam Khamis lepas, sekitar jam 8 malam, dalam satu perselisihan faham antara suspek dan mangsa.


Suspek telah menuduh isterinya yang berusia 22 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, namun si isteri telah menafikan dakwaan tersebut.

Berang, suspek dipercayai telah menumbuk, mencekik dan menarik rambut mangsa.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut pada pagi Sabtu.

Tangkapan suspek telah disahkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan  dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT). — DayakDailyp