Menjual sayur dan buah hasil kebun sendiri satu kepuasan

Aya Pok (kiri) serta isteri di gerai sayur dan buah di Kampung Tabuan Dayak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Jan: Menjual sayur dan buah tempatan secara kecilan di Kampung Tabuan Dayak menjadi satu kepuasan bagi Aya Pok.

Berusia awal 60-an, Aya Pok yang juga penduduk asal Kampung Tabuan Dayak memperoleh bekalan sayur dan buah dari kebun beliau yang terletak di Kampung Semawang di Kota Samarahan.


Ditemani isteri, beliau menjual sayur dan buah di sebuah gerai kecil ditepi jalan masuk ke Kampung Tabuan Dayak.

“Hasil kebun di Kampung Semawang saya bawa ke sini untuk dijual, selalunya saya ke kebun pada hari Ahad dan pada tengah minggu.

“Tidak juga banyak, tetapi ia satu kepuasan kerana hasil jualan juga memuaskan,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan hari ini mendapati Aya Pok menjual buah manggis, buah mawang, terung asam, daun ubi, daun sabung dan sayur hutan lain.

Harga yang diletakan bagi setiap produk yang dijual juga jauh lebih murah daripada harga di pasar sekitar Kuching.

Sebagai contoh, empat biji terung asam sederhana besar dijual dengan harga RM5, buah manggis setompok RM5 dan buah mawang sebiji RM3.

Dalam pada itu, Aya Pok juga membelanja wang sendiri untuk memperbaiki gerai berstruktur kayu yang kelihatan usang.

“Sudah beberapa kali kayu diganti, demi keselesaan saya dan isteri berniaga.

“Walaupun demikian, ia satu kepuasan kerana dapat menjual hasil kebun sendiri di sini,” kata Aya Pok. — DayakDaily