Sebuah rumah, tiga kenderaan terbakar di Tabuan Dayak

Keadaan rumah tersebut yang musnah dalam kebakaran.

KUCHING, 7 April: Sebuah rumah serta tiga buah kenderaan di Kampung Tabuan Dayak, di sini dilaporkan terbakar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada jam 9.15 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya serta Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah papan yang telah terbakar 100 peratus.

“Selain itu, kebakaran juga melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Kancil, Proton Gen-2 dan sebuah motosikal Yamaha,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba telah bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari pili Bomba berdekatan.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.50 pagi dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 10.17 pagi.

“Kesemua penghuni rumah, seramai 14 orang terdiri daripada lapan lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak dilaporkan selamat,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. ā€” DayakDaily