“LGE ‘serang’ Sarawak untuk tutup kegagalan PH”

Fazzrudin Abdul Rahman

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 8: Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) yang berterusan ‘menyerang’ Sarawak, dilihat sebagai bertujuan menutup kelemahan dan kegagalan Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam melaksanakan janji-janji mereka kepada Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, ia juga bertujuan menutup kelemahan beliau sebagai Menteri Kewangan selepas tindakannya memotong bajet untuk Sarawak dan membatalkan tiga projek jambatan di Sarawak sehingga mencetuskan kemarahan rakyat negeri ini.


Tegasnya, selepas membuat tuduhan palsu bahawa Sarawak ada hutang tertunggak dengan kerajaan Pusat, hari ini beliau (LGE) mendakwa kerajaan Sarawak berbohong dan menyebarkan fitnah mengenai cukai pelancongan serta menganggap ia tidak lebih kepada persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya negeri, dua tahun lagi.

“Sebenarnya LGE yang cuba menutup kegagalannya selepas tindakan demi tindakannya yang menganaktirikan Sarawak telah mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat di Bumi Kenyalang.

“Malaysia Baharu yang digambarkan LGE amatlah mendukacitakan. Beliau bukan sahaja tidak profesional, malah tidak matang sama sekali dalam menggalas tanggungjawab beliau sebagai seorang Menteri Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menambah, polemik politik seharusnya diketepikan bila ianya melibatkan kepentingan negeri dan negara.

Katanya, Menteri Pelancongan Kebudayaan Kesenian Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah juga hanya mengutarakan isu kepada kerajaan persekutuan.

“Adakah dengan mengutarakan isu terus dilabel sebagai cuba meretak hubungan Persekutuan-Negeri.

“Bukankah Malaysia baharu melaung-laungkan keterbukaan dalam menegur, kebebasan bersuara dan sebagainya.

“Sepatutnya beliau menangani setiap isu secara profesional, bukannya terus melatah dan mengecam Sarawak,” ujarnya lagi

Fazzrudin menambah, sebagai menteri yang telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus dan membangunkan negara dan negeri, sikap sebegini jelas menunjukkan keangkuhan, kebiadaban dan kelemahan LGE sendiri dan sememangnya tidak layak untuk menjadi Menteri Kewangan.

Tegasnya, tuduhan LGE bahawa Sarawak mempunyai tunggakan hutang kepada kerajaan pusat juga menunjukkan kedangkalan beliau sebagai Menteri Kewangan dan beliau tidak faham apa yang dinyatakannya.

“Jika Menteri Kewangan sendiri tidak jelas dengan status hutang tersebut, maka tidak layaklah beliau menjadi Menteri Kewangan.

“Jika beliau menyedari status sebenar hutang berkenaan tetapi sengaja mempolitikkannya untuk mengejek kerajaan negeri, ia bermakna LGE tidak layak untuk menjadi Menteri Kewangan.

“Kalaulah Sarawak mahu bersikap mengungkit seperti LGE, boleh sahaja kita ungkitkan hasil bumi Sarawak yang telah banyak dikaut dan diambil kerajaan pusat,” ujarnya lagi. — DayakDaily