KPDNHEP: Premis perniagaan e-dagang buka untuk pembungkusan dan penghantaran sahaja, transaksi dalam talian sepenuhnya

Online shopping — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 2 Julai: Premis perniagaan e-dagang hanya boleh dibuka bagi tujuan pembungkusan dan penghantaran barangan secara pos/kurier sahaja kecuali bagi sub sektor makanan, perubatan dan penjagaan diri sepanjang tempoh fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, setiap permohonan operasi perniagaan e-dagang akan disemak dengan teliti berdasarkan maklumat pendaftaran perniagaan, bilangan pekerja dan tempoh syarikat beroperasi.

“Kebenaran beroperasi secara dalam talian atau e-dagang adalah bertujuan untuk mengurangkan mobiliti pekerja dan pelanggan secara fizikal. Justeru, pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan sebarang transaksi dijalankan secara dalam talian sahaja.


“Manakala kehadiran ke premis perniagaan yang dihadkan 60 peratus dikhususkan bagi urusan pembungkusan dan penghantaran barangan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Waktu operasi bagi tujuan pembungkusan dan drop off penghantaran barangan di premis perniagaan bagi e-dagang adalah di antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Aktiviti perniagaan e-dagang adalah antara 12 kategori sub-sektor perkhidmatan perlu di bawah sektor perdagangan pengedaran sepanjang fasa pertama PPN.

Dalam tempoh yang sama, perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi pula termasuklah kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai perabot; kedai barang kemas; kedai elektrik dan elektronik; kedai aksesori kenderaan; pusat pengedaran dan jualan kereta; pusat cuci kereta; kedai gunting rambut dan salun; kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai; kedai bunga/ nurseri; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai alat permainan; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif; pusat kecantikan; kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain); kedai peralatan sukan; barangan rumah dan peralatan dapur (termasuk jubin, wall paper, kunci, langsir dan lain-lain); kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; kedai tembakau (termasuk vape/rokok elektronik) dan push cart/booth jualan sedia ada.

Kedai buku dan alat tulis turut tidak dibenarkan beroperasi namun negeri Sarawak telah membenarkan perkhidmatan ini beroperasi mulai 29 Jun lalu dengan syarat pengusaha premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan untuk industri perkhidmatan perlu.

Di samping itu, KPDNHEP menjelaskan bahawa premis perniagaan yang mempunyai 70 peratus barangan perkhidmatan perlu sahaja akan dipertimbang untuk diberikan kelulusan beroperasi.

“Walau bagaimanapun, pemilik premis yang memenuhi pra-syarat ini dan diberikan kelulusan beroperasi hendaklah menutup seksyen/bahagian perkhidmatan tidak perlu (non-essential) tersebut manakala perniagaan yang tidak memenuhi pra-syarat ini tidak dibenarkan beroperasi,” tambahnya.

KPDNHEP turut memberitahu bahawa kerja-kerja pengubahsuaian premis perniagaan yang sedang berjalan adalah perlu ditangguhkan sepanjang fasa pertama PPN.

“Sekiranya terdapat isu-isu keselamatan, pihak syarikat perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kerja pengubahsuaian diteruskan.

“Manakala, kerja-kerja penyelenggaraan/baik pulih peralatan penting premis perniagaan di bawah senarai perkhidmatan perlu adalah dibenarkan untuk dilaksanakan. Namun, kontraktor penyelenggaraan harus mendapatkan permohonan kelulusan beroperasi terlebih dahulu,” jelasnya.

Pihak syarikat atau pemohon yang mempunyai pertanyaan berkaitan SOP operasi sektor perdagangan pengedaran boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, KPDNHEP di talian 03-88826322/03-88826587 atau secara email kepada roa@kpdnhep.gov.my. — DayakDaily