Sindiket curi motosikal ‘Geng Jack’ tumpas

Motosikal yang dicuri berjaya ditemui semula.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 2 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching tumpaskan satu sindiket curi motosikal ‘Geng Jack’ disyaki aktif melakukan jenayah sejak akhir tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya percaya berjaya selesaikan 23 kes ke kecurian motosikal membabitkn jumlah kerugian mencecah RM108,000.


Jelas beliau, tujuh lelaki termasuk ketua sindiket berjaya ditangkap melalui ‘Op Lejang’ pada 29 Jun baru-baru ini.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun dan mereka telah ditangkap di lima lokasi berasingan di sekitar Kuching.

“Dengan tumpasnya geng ini, polis percaya dapat selesaikan 23 kes curi motosikal dan 1 kejadian pecah rumah dan curi yang telah membawa kerugian lebih kurang RM108,000,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya juga, semua suspek mempunyai rekod jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan dadah.

“Manakala ketua sindiket iaitu seorang lelaki mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan merupakan orang dalam pengawasan polis di bawah POCA,” katanya.

Susulan tangkapan ini, polis turut merampas tiga buah motosikal dan komponen yang tidak sempat dijual.

Kesemua suspek kini ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun sama.

Ujarnya, tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) juga akan dijalankan serentak di dalam siasatan ini untuk kesemua suspek. — DayakDaily