Kes serangan pekerja ladang warga Indonesia di Bakong diklasifikasikan semula kes bunuh

Suspek kini sedang diburu polis.

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 10 Mei: Polis di sini mengklasifikasikan semula siasatan ke atas kes serangan seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia di Bakong di bawah kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Jo Hang mengesahkan pentafsiran semula kes itu yang menyebabkan kematian mangsa berusia 30 tahun berbangsa Bugis itu.

Mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Kasya Bambang, dilaporkan telah meninggal dunia pada tengahari ini di Hospital Miri, lima hari selepas kejadian.

“Kes telah kita mengklasifikasikan semula di bawah pembunuhan,” ujar DSP Jo ketika dihubungi.

Dalam kejadian pada malam Khamis (6 Mei), mangsa dipercayai telah jatuh pengsan selepas dipukul oleh suspek menggunakan objek keras pada bahagian kepala dalam satu pergaduhan di hadapan bangunan stor sebuah ladang sawit di Bakong.

Sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Bekenu pada jam 8.30 malam pada hari yang sama telah menghantar mangsa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.10 petang tadi (Isnin),” jelas Jo.

Pihak polis kini sedang berusaha mengesan seorang lelaki warga Indonesia berbangsa Bugis yang dikenal sebagai Madaali Basri berusia 45 tahun.

Motif kejadian dipercayai kerana si mati tidak berpuas hati terhadap suspek yang mengadu semasa mesyuarat pengurusan ladang bahawa kerja menabur baja sesuka hati dan tidak mengikut standard.

Mangsa kemudian bertindak mencari suspek sehinggalah berlaku pertengkaran mulut di depan stor ladang tempat mangsa dijumpai terbaring oleh pemandu lori ladang.

Kejadian dilaporkam berlaku sekitar jam 5 petang pada 6 Mei.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tersebut diminta menyalurlan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Shah Effendi Abdul Lam di talian 019-2612189 atau berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat. — DayakDaily