2 ditangkap berkenaan kes bunuh seorang remaja lelaki di Kuching

Tempat kejadian dilaporkan berlaku.
KUCHING, 29 Julai: Dua lelaki ditangkap berhubung kes kematian seorang remaja lelaki yang dilaporkan dipukul di Jalan Tun Jugah, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata kedua-dua suspek berusia 43 tahun dan 50 tahun.
Katanya, tangkapan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Polis telah mengklasifikasikan sebagai kes bunuh apabila mangsa yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak telah meninggal dunia.
“Sepasukan polis daripada cawangan siasatan jenayah D9 IPD Kuching telah menahan dua lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Jelasnya siasatan lanjut kes masih dijalankan.
“Setakat ini kes dipercayai berpunya daripada kisah percintaan mangsa,” katanya.
Merbin mengingatkan orang awam agar tidak mengambilm tindakan yang melangkaui undang-undang. — DayakDaily