Shopee Msia agih 2,000 unit baucer dengan peruntukan RM100,000

Nanta (empat dari kanan) menerima sumbangan e-baucer dari wakil Shopee Malaysia

KUCHING, 10 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menerima e-baucer dari Shopee Malaysia untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan bersempena dengan Perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 2,000 unit baucer dengan setiap satu bernilai RM50 telah diserahkan oleh Shopee Malaysia kepada KPDNHEP melalui Program Food Bank Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000.

Katanya, majlis penyerahan 2,000 e-voucher tersebut merupakan salah satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi tahun 2021.


“Kementerian mengalu-alukan penyertaan pemain-pemain industri seperti Shopee Malaysia dalam program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Ini sebagai keperihatinan syarikat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membantu dan meringankan kos sara hidup rakyat terutama B40 dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, kerjasama KPDNHEP dan pemain industri e-dagang seperti Shopee telah banyak membantu usahawan-usahawan tempatan terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) dalam menembus ke pasaran dunia dan memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang.

Ujar beliau, kolaborasi KPDNHEP dengan Shopee Malaysia di dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) telah membuka ruang dan kejayaan yang besar terhadap usahawan dan produk serta perkhidmatan tempatan.

“Dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020, jualan daripada sekitar 120,000 barangan buatan tempatan yang disenaraikan dalam laman mikro KBBM di Shopee mencecah lebih daripada RM100 juta.

“Ia telah memberi manfaat kepada 7,700 penjual tempatan,” tambah Nanta. — DayakDaily