Suspek kes bunuh di Bintulu ditangkap

PDRM logo

BINTULU, 8 Jun: Seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan kes kematian seorang lelaki disyaki dibunuh di Medan Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu SUPT Batholomew Umpit berkata suspek berusia 57 tahun ditangkap sekitar jam 10.30 malam semalam di sebuah taman perumahan di sini.

Katanya, suspek direman sehingga 13 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekitar jam 8.28 malam 7 Jun, seorang lelaki ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan kecederaan di kepala.

Mangsa yang merupakan warga tempatan telah disahkan meninggal dunia.

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. — DayakDaily