Kes bunuh remaja lelaki di Kuching, 12 telah ditangkap sehingga semalam

Lokasi kejadian berlaku sebelum ini.

KUCHING, 3 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching percaya telah berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang remaja lelaki baru-baru ini dengan tertangkapnya 12 suspek sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 14 hingga 50 tahun iaitu terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan.

Katanya, kesemua suspek yang kini ditahan reman disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.


“Kes selesai dengan tangkapan suspek yang terlibat. Pihak polis akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang berusia 18 tahun telah disahkan meninggal dunia selepas dipukul beramai-ramai di Jalan Tun Jugah pada 29 Julai lalu sekitar jam 1 pagi.

Mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan meninggal dunia menyebabkan terus diklasifikasikan sebagai kes bunuh. ā€” DayakDaily