Kes jenayah kekerasan di Kuching meningkat tahun lepas

Awang Din (duduk tiga dari kiri) bersama ketua masyarakat, orang ramai dan anggota polis yang menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, hari ini (Jan 9, 2020).

KUCHING, Jan 9: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mendedahkan keseluruhannya sebanyak 214 kes jenayah kekerasan dan sebanyak 1,157 kes jenayah harta benda dilaporkan di bandar raya ini sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata berdasarkan Statistik Perbandingan Jenayah Tahunan Daerah Kuching 2018 dan 2019, kes jenayah kekerasan terbabit meningkat sebanyak 38 kes manakala kes jenayah harta benda menurun sebanyak empat kes berbanding 2018.

“Kami juga mendapati peningkatan kes jenayah kekerasan tersebut lebih kepada kes samun berkawan seperti menyamun seramai dua atau tiga orang terhadap kedai 24 jam. Sebanyak 76 kes samun berkawan dilaporkan tahun lepas (di bandar raya Kuching) yang meningkat sebanyak 22 kes berbanding 2018,” katanya selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuching, di Pasaraya Mydin, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Awang Din berkata pihaknya telah mencegah kes samun berkawan dari berleluasa di bandar raya ini tahun lepas dengan melakukan banyak tangkapan dan juga membuang daerah seramai 21 individu dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Berdasarkan statistik itu, dibawah jenayah kekerasan juga ialah samun yang sebanyak 50 kes tahun lepas dan meningkat 20 kes berbanding 2018 diikuti rogol yang sebanyak 18 kes tahun lepas (meningkat lapan kes).

Selain itu, jenayah tersebut juga merangkumi kes bunuh yang sebanyak dua kes tahun lepas (meningkat satu kes) serta kes jenayah kekerasan lain yang sebanyak 68 kes tahun lepas (menurun 13 kes).

Kes jenayah harta benda pula merangkumi curi motosikal yang sebanyak 367 kes dilaporkan tahun lepas (menurun 137 kes) dan curi motokar sebanyak 127 kes tahun lepas (meningkat 29 kes).

Selain itu, statistik juga menunjukkan kes curi lori atau van yang sebanyak lapan kes tahun lepas (menurun empat kes), pecah rumah yang sebanyak 292 kes tahun lepas (meningkat 19 kes) dan lain-lain kecurian harta benda sebanyak 363 kes tahun lepas (meningkat 89 kes). — DayakDaily