Kerajaan pertahan hak rakyat ke atas tanah NCR yang sahih

Awang Tengah (tiga dari kiri) menyerahkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Nov: Kerajaan komited mempertahankan hak rakyat ke atas tuntutan hakmilik tanah adat Bumiputera (NCR) yang sahih mengikut perundangan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah mempercepatkan proses pengukuran tanah NCR.


Katanya, ia bagi memastikan pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh.

“Maka, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 yang dilaksanakan secara dua peringkat.

“Pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Pada peringkat kedua pula, dilaksanakan pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Rantau Panjang di sini, hari ini.

Penerima-penerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Kampung Rantau Panjang merakamkan kenangan bersama Awang Tengah (barisan depan, lima dari kiri).

Pada majlis yang diadakan di Kem Eco Sumiran itu, sebanyak 221 surat hak milik tanah diserahkan kepada 206 penerima di Kampung Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II berkata inisiatif pengukuran baharu telah berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 943,926 hektar.

“Daripada jumlah tersebut, seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.

“Setakat ini, sebanyak 35,840 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 44,607 hektar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tambah beliau, surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri ada banyak keistimewaan.

Katanya, selagi ada bulan dan bintang, tempoh pegangan adalah kekal, tidak perlu membayar apa-apa premium tanah dan ianya percuma. — DayakDaily