Kenyataan Asfia hanya mewakili GPS dan tiada kuatkuasa, kata PKR Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING, 8 Jun: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyifatkan kenyataan media Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada 6 Jun lepas hanyalah pendapat bagi pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tidaklah mempunyai kuatkuasa.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, walaupun Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (EO2021) yang berkuatkuasa dari 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, DUN Sarawak tetap terbubar pada 6 Jun lepas.

“PKR Sarawak mempunyai pendapat yang berbeza yang selari dengan maksud Perlembagaan Negeri Sarawak iaitu DUN Sarawak tetap terbubar pada 6 Jun 2021.


“EO2021 dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (YDPA) tidak menyentuh perlanjutan DUN Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, Kerajaan Sarawak yang ada pada hari ini sepatutnya adalah “Caretaker Government” sahaja kerana EO2021 tidak menyebut tentang DUN Sarawak dilanjutkan selepas 6 Jun 2021.

Pada Ahad lepas, Asfia menerusi kenyataan media berkata DUN Sarawak yang penggalnya tamat bermula Isnin (7 Jun), akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Menurutnya, ia berdasarkan perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas 6 Jun (Ahad), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun tegas Asfia, peruntukan itu tidak dapat berkuatkuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Hari ini (6 Jun) merupakan hari terakhir penggal ke-18 Dewan Undangan Negeri Sarawak. Esok (Isnin), DUN sepatutnya terbubar selaras dengan Perkara 21(3) Perlembagaan Sarawak.

“(Namun disebabkan penguatkuasaan darurat) DUN dan kesemua 82 ahlinya serta jemaah menteri negeri akan terus berfungsi dan menjalankan tugas di bawah Ordinan Darurat,” kata Asfia. — DayakDaily