Tekong darat diekori 2 jam sebelum ditangkap bersama dua Pati di Serian

Tekong darat dan Pati yang ditangkap dalam operasi tersebut.

SERIAN, 8 Jun: Seorang tekong darat ditangkap dalam cubaannya menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (Pati) di Tebedu, pada Ahad (6 Jun) lepas.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan Pati melalui jalan yang tidak diwartakan di Tebedu iaitu sekitar jam 1 petang.

Jelasnya, anggota Task Force Skuadron Perisai 11 kemudian terus membuat rondaan serta pemantauan dan kemudian mengekori sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan sehingga ke Jalan Serian-Gedong.


“Perodua Bezza tersebut berjaya ditahan pada jam 3.25 petang dan pemeriksaan mendapati di dalamnya terdapat seorang lelaki warga tempatan bersama penumpang (1) lelaki warga Indonesia dan (1) wanita warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita warganegara Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek kemudian ditahan dibawah kesalahan di bawah kesalahan dibawah akta Atipsom 2007, dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 24 tahun berasal dari Simunjan, sementara lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun dan wanita berusia 36 tahun.

“Soal siasat awal mendapati kedua-dua warga Indonesia tersebut masuk melalui jalan tikus di kawasan Tebedu dan terus dibawa ke Simunjan untuk berkerja di ladang kelapa sawit Simunjan,” katanya. — DayakDaily