Jalan Utama Kedua bawa manfaat jangka panjang untuk penduduk luar bandar – Adun Lingga

Adun Lingga Simoi Peri

 

KUCHING, Mei 18: Projek Jalan Utama Kedua yang dibiayai sendiri oleh Kerajaan Sarawak adalah pelengkap kepada Jalan Pesisir yang menghubungkan Daerah Roban hingga Kota Samarahan dan Lebuhraya Pan Borneo, kata Adun Lingga Simoi Peri.

Katanya, jalan tersebut bakal memberi manfaat besar untuk tempoh jangka panjang kepada rakyat di kawasan terlibat iaitu dari Roban ke Kota Samarahan termasuk Lingga dan Maludam.


“Ia membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat yang sebahagian besarnya petani dan nelayan dan merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan di Taman Negara Maludam dan Taman Negara Sebuyau.

“Sekaligus, rangkaian jalan raya ini menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, jika projek tersebut dihentikan sebagaimana cadangan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh, ia akan memberi kesan negatif kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut Simoi lagi, Kerajaan Sarawak pastinya telah meneliti dan mengkaji keperluan pembinaan Jalan Utama Kedua terlebih dahulu sebelum diputuskan untuk dilaksanakan.

Jelas beliau, ia mengambil kira faktor kewangan dan keperluan masyarakat setempat.

Simoi percaya, pembatalan pembinaan Jalan Utama Kedua bagaikan menidakkan keperluan masyarakat luar bandar untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai visi dan misi menjadi negeri maju pada tahun 2030, salah satu faktor yang perlu diambil kira ialah rangkaian pengangkutan yang baik.

“Pastinya jalan raya sepanjang 112 kilometer itu turut menjimatkan masa perjalanan dari Betong (Maludam) ke Kuching dengan hanya kira-kira dua jam berbanding empat hingga lima jam pada waktu ini.

“Rakyat pula melihat pembinaan Jalan Utama Kedua ini adalah usaha berterusan Kerajaan GPS dan merupakan satu pelaburan terbaik untuk rakyat Sarawak,” katanya. – DayakDaily.