Ikan tapah gergasi menjadi sumber makanan penduduk Batang Oya

Ikan tapah bersaiz besar seberat 47 kilogram yang dapat dipancing saudara-mara George di sungai Batang Oya dua tahun lepas.

KUCHING, Mei 18: Sungai Batang Oya di Mukah kini menjadi lubuk memancing ikan tapah bersaiz besar bagi dijadikan sumber makanan bagi penduduk sepanjang sungai itu dengan rekod ikan tapah terbesar pernah dapat ditangkap mereka ialah seberat 70 kilogram.

Seorang penduduk itu, George Collin Jenis, 21, dari Kampung Narub berkata ikan tapah bersaiz dari 25 kilogram sehingga 70 kilogram telah mula dapat ditangkap mereka dari sungai itu sejak 2016.

“Populasi ikan tapah bersaiz besar banyak di sungai ini berkemungkinan kerana penduduk di sini sudah tidak lagi membenarkan ikan dan udang sungai ditangkap dengan cara yang tidak dibenarkan,” katanya kepada DayakDaily, hari ini.


George berkata mereka yang menggunakan cara menangkap ikan yang tidak dibenarkan terutama mengunakan kejutan elektrik dan juga racun udang, akan dihalau ketua kampung dari sungai itu, malahan individu itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terus berdegil.

“Kini populasi ikan tapah bersaiz besar semakin meningkat dalam sungai ini, sehingga saya dan saudara-mara yang gemar memancing ikan sungai sebagai makanan pada setiap minggu memang akan ada dapat menangkapnya,” katanya.

Seekor ikan tapah bersaiz besar yang dapat dipancing seorang penduduk kampung di Batang Oya, baru-baru ini.

Beliau juga ada dimaklumkan penduduk kawasan terbabit yang ada satu tempat di sungai itu terdapat seekor ikan tapah yang saiznya hampir sama saiz bot mereka, namun ramai tidak berani memancing ikan terbabit. Buat masa ini, rekod tangkapan ikan tapah yang seberat 70 kilogram belum lagi dapat dipecahkan.

Kata George, biasanya ikan tapah bersaiz besar di sungai itu boleh ditangkap dengan memancing dikawasan hulu sungai yang sunyi dengan umpan terbaik ialah samada anak ikan keli, puyu, talapia atau udang.

“Saya sehubungan itu berharap kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) ini dapat membenarkan aktiviti memancing ikan bagi dijadikan makanan sendiri,” katanya.

George berkata ini perlu kerana ada kampung di sungai terbabit jauh di pedalaman dan hanya boleh masuki mengunakan perahu atau bot, serta ikan sungai menjadi sumber makanan yang penting bagi penduduknya. — DayakDaily