Simoi: Golongan berisiko digesa elak hadiri aktiviti keramaian

Simoi (berdiri kiri) menyampai kerusi roda kepada salah seorang penduduk Rh Wilson Bada pada program tersebut.

KUCHING, 18 Okt: ADUN Lingga Simoi Peri menggesa golongan berisiko agar tidak menghadiri sebarang aktiviti keramaian dan kawasan sesak seperti pusat membeli belah.

Katanya, ia adalah untuk mengelakkan mereka mendapat jangkitan Covid-19 yang boleh menyebabkan komplikasi lebih serius.

“Bagi kumpulan berisiko seperti warga emas, wanita mengandung, penghidap penyakit kronik dan anak-anak kecil, golongan ini harus dilindungi.


“Ahli keluarga yang lain juga harus memastikan kebersihan diri dan tahap kesihatan masing-masing sebelum menghampiri mereka,” katanya pada program komuniti anjuran Jabatan Penerangan di Rh Wilson Bada di Lingga, Sri Aman hari ini.

Menurut Simoi, sekiranya ada ahli keluarga bergejala, pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan hendaklah segera dilakukan.

Tambah beliau, setiap individu hendaklah sentiasa bertanggungjawab dan jujur kepada petugas kesihatan sekiranya disoal selidik mengenai gejala yang dihidapi.

“Kesimpulannya, kita sebagai sebuah komuniti hendaklah bersama-sama menggalas tanggungjawab sosial ini.

“Komuniti adalah adalah mata dan telinga kepada kerajaan. Laporkan sebarang ketidakpatuhan SOP kepada pejabat daerah atau balai polis berhampiran,” ujar Simoi. — DayakDaily