66 murid dari DUN Lingga dapat bantuan beg sekolah

Simoi (kanan) menyerahkan beg sekolah kepada salah seorang murid.

Oleh Dean Adam

LINGGA, Jan 7: Seramai 66 orang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku dan SK St Dunstan menerima sumbangan beg sekolah dari Pusat Khidmat ADUN Lingga, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.


Berucap dalam program tersebut, Simoi memberitahu, seramai 29 orang pelajar di SK Pulau Seduku dan 37 orang pelajar dari SK St Dunstan telah menerima sumbangan beg sekolah itu.

Katanya, program itu merupakan inisiatif pusat khidmat wakil rakyat bagi membantu kanak-kanak dari luar bandar dari kawasan Lingga.

Simoi (tengah, baris belakang, tudung merah) merakamkan gambar bersama para penerima bantuan beg sekolah.

“Ianya juga merupakan aktiviti tahunan pusat khidmat setiap kali menjelang sesi persekolahan yang baharu,” katanya di sini hari ini.

Simoi turut menerangkan mengenai isu berhubung wakil rakyat tidak dibenar ke sekolah dan beliau sendiri telah berhubung dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak berkenaan isu tersebut.

Jelasnya, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak menyatakan tiada masalah untuk wakil rakyat melawat ke sekolah.

“Sehubungan itu, semua pihak berkaitan perlu sentiasa berhati-hati dan teliti dalam menyampaikan maklumat pada masa kini.

“Ini bagi memastikan tiada sebarang masalah wujud atau di tafsir sehingga menimbulkan fitnah kelak,” ujarnya. — DayakDaily