Jalan Utama Kedua, Jalan Pesisir harus diteruskan – Dr Hazland

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING,15 Mei: Pengumuman Kerajaan Sarawak membina Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) yang merupakan sambungan kepada Jalan Pesisir (Coastal Road) mendapat reaksi positif di kalangan penduduk kawasan luar bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

“Malah, pembinaannya adalah bertujuan untuk memastikan kawasan luar bandar mendapat akses jaringan pengangkutan yang baik dan seterusnya mampu meningkatkan sosio-ekonomi rakyat.

“Bagaimanapun, kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh dan Naib Presiden PSB Johnical Rayong Ngipa yang mahu pembinaan Jalan Utama Kedua dihentikan seolah-olah menidakkan keperluan dan kehendak masyarakat di luar bandar dalam menerima pembangunan secara menyeluruh,” kata Dr Hazland di sini hari ini.


Jelas beliau, sekiranya Jalan Utama Kedua dihentikan, ianya bukan sahaja menidakkan pembangunan, tetapi juga merencatkan jaringan pengangkutan di Sarawak seperti yang telah dirancang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Jika kos  pembinaan RM6 bilion yang dipersoalkan, apakah mereka tidak melihat pelan jangka masa panjang kepada peningkatkan sosioekonomi dan pendapatan rakyat dengan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negeri

“Juga, apakah rakyat yang tinggal di luar bandar bersetuju dengan cadangan memberhentikan projek itu? Jawapannya pasti todak, kerana rakyat sudah lama mahu menikmati pembangunan seperti mana yang diperjuangkan GPS dengan slogan ‘rakyat diutamakan,” katanya.

Dr Hazland berkata penyambungan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir sangat diperlukan bagi menghubungkan Sebuyau ke Lingga/ Sri Aman dan Betong dan sekaligus memendekkan jarak antara Kuching dan Sibu atau Betong.

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan bahawa pembinaan Jalan Tanjong Embang-Bliong dan Jalan Buntal-Bako seharusnya diteruskan kerana ia merupakan sebahagian dari Jalan Pesisir yang menghubungkan kawasan di pinggir bandar.

“Jalan Tanjong Embang-Bliong dan Jalan Buntal-Bako ini akan menghubungkan pusat peranginan dan kawasan pelancongan antara Santubong dan Taman Negara Bako yang sememangnya terkenal di seluruh dunia,” jelas beliau.

Dr Hazland juga berkata bahawa kebanyakan penduduk yang tinggal di luar bandar merupakan nelayan, petani dan penternak yang amat memerlukan jaringan pengangkutan yang baik bagi memasarkan hasil dan produk mereka ke bandar

“Malah, pembinaan kemudahan pengangkutan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir juga membuka peluang pembangunan dan menaikkan nilai hartanah yang semenangnya sangat diperlukan bagi mempertingkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

“Justeru, jika Presiden dan Naib Presiden PSB itu tetap dengan pendiriannya mahu memberhentikan Jalan Utama Kedua jelas bahawa PSB secara terang- terangan menolak pembangunan kawasan di luar bandar dan sekaligus menidakkan suara rakyat yang mahukan pembangunan,” tambah Dr Hazland.- DayakDaily