Industri ‘air mobility’ masih diberi perhatian khusus, kata Wan Junaidi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 5 Ogos: Kerajaan masih memberi perhatian khusus kepada industri ‘air mobility’ yang melibatkan teknologi terkini seperti ‘artificial intelligence’ (AI), ‘big data’, ‘mobility’ dan ‘Internet of Things’ (IOT).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia juga melibatkan istilah ‘kereta terbang’ ataupun dalam konteks sebenar ‘super drone’.

“Industri ini mempunyai potensi yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa disamping boleh diaplikasikan ke pelbagai sektor yang lain.

“Ia berupaya membuka peluang kepada satu bidang keusahawanan yang baru dan boleh dikomersialkan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab soalan MP Lumut Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli.

Tambah Wan Junaidi, projek-projek ‘air mobility’ yang ada pada masa ini diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Katanya, projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

Menurut beliau, Medac berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan PKS tempatan dalam industri ini yang memfokuskan kepada perkhidmatan ‘drone’ dan ‘super drone’.

Namun, jelas Wan Junaidi, Medac pada masa ini memberi perhatian khusus kepada pembangunan perusahaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi terutamanya dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan semasa dan pasca Covid-19.

“Ini bagi mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dimana kita hanya mempunyai tempoh masa 10 tahun bagi mencapai matlamat tersebut.

“Hal ini amat penting kerana kesan penularan wabak Covid-19 terhadap usahawan tempatan perlu ditangani dengan lebih agresif dan spesifik dengan menggunakan sumber kewangan dan kepakaran yang ada pada kerajaan,” ujar beliau. — DayakDaily