Masyarakat Kayan di Long Panai perolehi rezeki dari sungai dan kebun

Ikan tapah melebihi 10 kilogram berjaya dinaikkan penduduk di Long Panai. Foto: Ukas

LONG PANAI, 14 Julai: Masyarakat Kayan di Long Panai, Baram menggunakan sebaiknya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mencari rezeki di sungai dan menikmati hasil kebun buah-buahan masing-masing.

Menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), penduduk di Long Panai memikirkan cara terbaik untuk meneruskan kehidupan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Ketika musim banjir dan air pasang, penduduk yang merupakan nelayan sungai telah memasang kail dan menangkap ikan dengan menggunakan perangkap ikan yang dipanggil ‘selambau’ oleh masyarakat tempatan.


Hasilnya sangat lumayan apabila ikan seperti tapah, belida dan ikan sungai yang lain yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi berjaya dinaikan.

Ikan tapah misalnya boleh mencecah harga RM50 setiap satu kilogram dan tangkapan yang diperolehi melebihi 10 kilogram setiap seekor.

Buah engkalak apabila tiba musimnya menjadi sumber pendapatan masyarakat Kayan di Long Panai. Foto: Ukas

Manakala, bagi penduduk yang mengusahakan kebun buah-buahan dan sayur-sayuran, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila buah-buahan yang ditanam mula berbuah.

Ketika ini, buah engkalak tumbuh segar dan banyak selain beberapa jenis buah lain yang memberi rezeki kepada penduduk.

Selain dimakan sendiri, hasil ikan dan buah-buahan ini dikongsi bersama penduduk rumah panjang dan selebihnya akan dikirim kepada anak-anak yang berada di bandar. — DayakDaily