Dengan tekad kuat, Nina berjaya juga akhirnya

Nina bersama bapanya Bayang Sulong, 59 (kanan) dan abangnya Rudy Bayang, 33 (kiri) di Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di Kampus Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Okt 30: Kehilangan ibu dan mengalami kesakitan kerana kecedaraan parah akibat kemalangan jalan raya tahun lepas tidak menghalang Nina Bayang, 28, meneruskan pengajiannya ijazahnya yang berbaki dua semester dan menjadi graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Kognitif) antara seramai 1,731 graduan Unimas menerima ijazah masing-masing dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di Kampus Unimas di sini, hari ini.

Nina yang mengalami patah tulang kaki dan peha kanan, patah tulang tangan kiri, lutut hancur, tulang rusuk retak, dan pendarahan dalam kepala akibat kemalangan itu, dan sekarang berkerusi roda telah ditemani bapanya Bayang Sulong, 59 dan abangnya Rudy Bayang, 33 di majlis konvokesyen tersebut.


Menurutnya kemalangan terbabit berlaku Januari 26, 2017 dekat Simpang Bajau berhampiran Saratok sekitar jam 6 petang ketika beliau bersama ibu dan seorang saudaranya dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Spaoh, Betong.

“Kereta yang dipandu saya telah bertembung secara berhadapan dengan satu kereta lain mengakibatkan saya mengalami kecederaan parah, manakala ibu saya (mendiang Mau Bina, 56) dan seorang saudara telah meninggal serta merta di lokasi kejadian,” katanya.

Akibat kecederaan parah tersebut, beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama dua semester dan memutuskan kembali meneruskan pengajiannya walaupun belum pulih sepenuhnya dan sukar bergerak kerana besi titanium dipasang pada tulang kaki dan peha kanan serta tulang tangan kiri.

Nina menunjukkan ijazahnya yang diterima semasa Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di Kampus Unimas, Kota Samarahan, hari ini.

“Memang saya pernah merasa putus asa meneruskan pengajian kerana kecederaan yang dialami, tetapi saya teringat pesan mendiang ibu saya, kalau kita hendak melakukan sesuatu perkara sentiasalah kita berdoa dan jangan putus asa kerana akan ada cara penyelesaiannya,” katanya.

Berikutan itu beliau yang berkerusi roda akan memandu kereta sendiri dari rumah keluarganya di Samariang, Petra Jaya sehingga ke kampus Unimas di Kota Samarahan bagi menghadiri kuliah sepanjang meneruskan pengajiannya.

“Saya juga ada mengalami kesukaran menghadiri kelas di bangunan bertingkat, adakalanya saya terpaksa memohon pensyarah menukar kelas terbabit di tingkat bawah disamping kesukaran bergerak mendapat bahan rujukan seperti
pelajar lain dan terpaksa bergantung kepada sumber rujukan secara atas talian yang terhad,” katanya.

Nina yang nerupakan anak bongsu dari dua adik beradik juga belum lagi mahu memikirkan mencari pekerjaan atau melanjutkan pelajaran seperti graduan lain kerana mendedahkan perlu menjalani pembedahan penting di Hospital Umum Sarawak selepas ini.

“Saya akan masuk wad hospital pada November 3 depan dan menjalani pembedahan pada November 5 depan bagi mengeluarkan besi titanium pada tulang kaki dan peha kerana skrunya telah bengkok,” katanya, lalu menambah beliau akan memikirkan langkah yang seterusnya bagi dilakukannya selepas menerima ijazah terbabit selepas
keadaan fizikalnya pulih. — DayakDaily