Fadillah: Hospital Pengajar Unimas dibina dengan kos kontrak RM485.9 juta

Fadillah (dua dari kiri) menyerahkan SST kepada salah seorang wakil pihak kontraktor.

KUCHING, 10 Mac: Pembinaan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan dengan nilai kontrak RM485.99 juta bakal siap dalam tempoh empat tahun.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hospital tersebut akan memiliki kapasiti 300 buah katil.

“Ini bakal membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan sedia ada di Sarawak selain memberi akses yang lebih dekat kepada penduduk terutamanya di Samarahan, Padawan, Serian, Sebuyau dan Simunjan.


“Tempoh pembinaan bagi keseluruhan projek adalah selama empat tahun,” katanya pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor syarikat Perbena Emas Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu, Fadillah turut menyerahkan tiga lagi SST kepada kontraktor yang berjaya dengan nilai keseluruhan empat projek ialah RM600 juta.

Menurut beliau, projek dibawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi itu merupakan pembangunan infrastruktur dan prasarana serba lengkap, moden dan kondusif.

“Cawangan Kerja Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah diberi kepercayaan selaku agensi pelaksana kepada projek–projek ini.

“JKR Malaysia juga bertanggungjawab memastikan pihak kontraktor melaksanakan amanah rakyat dengan berkualiti dan menepati spesifikasi kontrak,” ujar beliau.

Tiga projek lain ialah pembinaan Kompleks Sukan Kampus Gong Badak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Kuala Terengganu dengan kos kontrak berjumlah RM18.89 juta, Pembinaan Pusat Islam dan Pembangunan Insan serta Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan harga kontrak sebanyak RM11.90 juta.

Projek ke-4 ialah Pembinaan Blok Baharu Bagi Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Lain-Lain Kemudahan Mesra OKU di SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos kontrak RM9.96 juta. — DayakDaily