Empat individu berjaya elak ditipu sindiket ‘Macau Scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 30: Polis Sarawak menerima empat laporan berhubung sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di negeri ini semalam.

Bagaimanapun, kesemua pengadu tidak mengalami sebarang kerugian kerana mereka berjaya menafikan terlibat dengan kes-kes jenayah seperti yang didakwa sindiket berkenaan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, terdapat dua kes dilaporkan di Miri dan masing-masing satu kes di Mukah dan Sri Aman.

Katanya, kes pertama di Miri melibatkan seorang fisioterapi wanita yang berusia 31 tahun berjaya mengelak daripada terpedaya dengan kes kononnya dia telah kes langgar lari dan terlibat dengan kes wang haram dan dadah berjumlah RM2.8 juta.

“Pengadu yang merasakan suspek cuba memperdayakannya kemudian memutuskan talian dan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Kes kedua di Miri juga pula melibatkan seorang kerani akaun yang kononnya dikatakan mempunyai hutang kad kredit Affin Bank sebanyak RM3,675 yang mana akaun tersebut telah dibuat di Labuan, Sabah sedangkan pengadu tidak pernah memohon atau memiliki kad kredit di bank tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, pengadu kemudian bertindak menelefon ke Ibu Pejabat Affin Bank di Kuala Lumpur di talian 0382302323 bertanyakan hal tersebut, tetapi telah dimaklumkan yang nama pengadu tiada dalam senarai pemilik kad kredit di bank tersebut.

Katanya, susulan itu, wanita berusia 35 tahun berkenaan kemudian membuat laporan polis.

“Kes di Sri Aman juga tidak melibatkan kerugian apabila seorang pekerja di Penjara Pusat Sri Aman berjaya mengelak daripada tertipu sindiket penipuan menerusi panggilan telefon berkenaan.

“Suspek telah memaklumkan pengadu telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM6,000 menggunakan kad kredit Citibank sedangkan pengadu tidak pernah memohon kad kredit dari Citibank sebelum dia menamatkan panggilan daripada suspek,” katanya.

Manakala ujanrya, kes keempat di Mukah melibatkan seorang petani yang telah menerima pangilan telefon kononnya daripada seorang peguam dari Mahkamah Majistret Melaka.

Jelasnya, suspek tersebut kemudian memaklumkan bahawa nombor kad pengenalan milik pengadu telah membuat pembelian menggunakan kad kredit berjumlah RM60,000 di Hong Leong Bank Cawangan Melaka.

“Pengadu berasa terkejut kerana pengadu tidak pernah melakukan perkara sedemikian. Selepas itu, pengadu juga telah dihubungi oleh no. 06-854222 yang memperkenalkan diri dari IPK Melaka.

“Petani tersebut yang merasakan dirinya ditipu kemudian melakukan laporan polis,” katanya. — DayakDaily